Aiman Hanif
MESYUARAT Muafakat Nasional (MN) yang dijadualkan berlangsung malam ini dibatalkan.
Menurut sumber, mesyuarat yang sepatutnya berlangsung antara Umno dan PAS itu terpaksa dibatalkan atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), memandangkan penularan wabak Covid-19 masih berleluasa.
Justeru, pimpinan kedua-dua parti terpaksa memutuskan untuk membatalkan pertemuan itu dan menundanya kepada satu tarikh baharu.
“Ya, mesyuarat MN terpaksa dibatalkan atas nasihat MKN. Ia dijangka dibawa ke satu tarikh lain,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Terdahulu, mesyuarat MN yang sepatutnya dipengerusikan Timbalan Presiden kedua-dua parti iaitu Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan membincangkan kedudukan parti Bersatu dalam gabungan itu.
Menurut Setiausaha Agung Bersama Sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa, mesyuarat yang biasanya dijalankan setiap dua minggu itu sudah beberapa kali dibatalkan atas beberapa sebab termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau berkata, usul berkaitan penyertaan Bersatu ada dalam minit mesyuarat sebelum ini dan dijangka dibincangkan malam ini.
Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, tarikh baharu mesyuarat belum diputuskan, tetapi a dijangka selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat. – Malaysiapost

