Mesyuarat MT Umno dibatalkan

0
4

Aiman Hanif

MESYUARAT Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadualkan esok, dibatalkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut sumber yang juga Ahli MT UMNO, mesyuarat yang akan membincangkan keputusan Biro Politik Umno minggu lalu itu dijangka diubah kepada satu tarikh lain.

“Mesyuarat MT dibatalkan kerana kita perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang ditetapkan kerajaan.

“Selain itu, pembatalan juga dibuat berdasarkan peningkatan kes harian pada tahap tertinggi Covid-19 sejak wabak ini melanda negara,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Pada 16 Oktober lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan MT Umno akan mengadakan mesyuarat pada Selasa ini di satu lokasi tidak didedahkan di Pahang.

Mesyuarat MT Umno menjadi tumpuan pelbagai pihak memandangkan ia dijangka memperhalusi keputusan Biro Politik yang mempertimbangkan untuk menarik balik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN). – Malaysiapost