POLIS berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan menahan tujuh suspek dan merampas dadah jenis ganja seberat 840.7 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM2.1 juta dalam serbuan sekitar Pulau Pinang pada 18 dan 19 Januari lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata empat serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam operasi terancang berhubung maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di kawasan Timur Laut dan Barat Daya, Pulau Pinang.

Menurutnya, dalam serbuan itu tujuh lelaki tempatan berusia 24 hingga 29 tahun yang dipercayai terbabit kegiatan dadah jenis ganja berjaya diberkas.
“Dalam serbuan itu turut berjaya dirampas adalah 823 ketulan mampat dipercayai ganja dengan anggaran berat 840.7 kg yang boleh digunakan seramai 1.88 juta orang.
“Hasil risikan mendapati sindiket pengedaran dadah ini bergiat aktif sejak awal tahun 2022 dan dadah diedarkan untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek yang ditahan negatif dadah, namun lima daripadanya memilih rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah.
“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 26 Januari ini bagi membantu siasatan kes yang kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dah Berbahaya 1952.
“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan JSJN menyita dua kereta dan sebuah motosikal dianggarkan bernai RM51,500 menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan harta adalah RM2.153 juta,” katanya. – Malaysiapost

