AMALAN yang batil tidak menjadi sah dan halal dengan sebab niat yang baik, kata bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau yang kini dipilih menyertai Majlis Ulama Umno, memperkatakan mengenai tindakan merompak dengan niat bersedekah kepada fakir miskin seperti ‘Robin Hood’ sama ada halal atau sebaliknya.
“Dalam Islam kesahihan satu amalan bergantung pada dua syarat iaitu niat yang betul dan amalan zahir yang menepati syarak.
“Tapi niat boleh menukar status amalan yang harus menjadi sunat, makruh dan haram. Ia dibahaskan oleh ulama ketika menghuraikan sabda Nabi SAW: “Segala amalan itu berasaskan niat-niat”,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tanpa menamakan sesiapa, Khairuddin dipercayai merujuk kepada Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan berkata pengagihan wang secara sedekah itu dan tidak melanggar peraturan dan pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.
Menurutnya, undang-undang telah menetapkan bahawa setiap calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen.
Abdul Hadi mengulas berhubung petisyen pilihan raya yang difailkan Umno Terengganu bagi mencabar keputusan PRU-15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, yang dimenangi calon Pas. – Malaysiapost

