KETUA Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari membidas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kritikannya terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai isu pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya.
Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, Ahmad Fadhli yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Ahmad Zahid, menyarankan supaya Presiden Umno itu ‘cermin’ dulu dirinya sebelum menyerang Abdul Hadi.
“Sebelum Datuk Seri Presiden (Zahid) menyerang Presiden kami (Hadi) dalam isu rasuah, saya sarankan Datuk Seri membeli cermin, atau gunakan cermin yang ada di kediaman rasmi,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Ahmad Zahid membidas Abdul Hadi berhubung kenyataannya bahawa pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya hanyalah ibarat sedekah kepada pengundi.
Ahmad Zahid berkata, sebagai ulama, mereka perlu mempunyai integriti dan tidak boleh tukar fatwa sesuka hati.
“Kalau dia (PAS) buat, sedekah, kalau kita bagi rasuah. Ulama-ulama ni, jangan tukar-tukar hukum, jangan tukar fatwa.
“Ulama kena ada integriti sebagai ulama, jika tidak ulama politik tidak akan dihormati oleh rakyat dan oleh orang Islam,” kata Ahmad Zahid.
Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan berikutan ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam. – Malaysiapost

