PAS akan menentukan sendiri tarikh yang bersesuaian untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri pimpinannya untuk memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, bagaimanapun perbincangan akan dibuat di peringkat parti itu terlebih dahulu dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum tarikh sesuai ditetapkan.
Menurutnya, parti itu tidak berhasrat untuk berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) dan menyerahkan kepada gabungan itu sama ada mahu mengadakan PRN serentak dengan tiga negeri lain.
“Kami akan berbincang antara kami sendiri, terpulang kepada kami bila mahu bubarkan DUN.
“Sama ada mereka (PH) mahu ikut ataupun tidak itu terpulang. Selama ini pun, mereka banyak ikut kami. Sebelum ini tidak ikut Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mereka ikut juga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Semarak Gelombang Rakyat Bersama Perikatan Nasional(PN) di Ladang Alam Warisan, hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin, Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.
Menurut Abdul Hadi, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pucuk pimpinan tertinggi parti akan datang.
“Kita akan kaji dari segi kesan kepada pengundi luar, mahasiswa, pengundi muda dan orang balik bercuti raya,” katanya.
Sementara itu diminta mengulas tindakan Barisan Nasional (BN) Terengganu memfailkan tiga petisyen bagi mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu, Abdul Hadi berkata, ia merupakan tindakan gerak saraf kepada PAS.
“Ini kerana mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil calon tidak boleh memfailkan petisyen,” katanya.
Berkenaan tindakan pemimpin PH yang menyifatkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘beban’ kepada PH dan Kerajaan Perpaduan, beliau berkata, mereka hanya mendedahkan perasaan sendiri.
“Itu dia mendedahkan perasaan dia sendiri. Kami lihat dari jauh saja,”katanya. – Malaysiapost

