PASUKAN Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bersama-sama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memantau aliran trafik di lebuh raya utama sepanjang cuti Tahun Baharu Cina.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim, berkata PDRM sentiasa komited memastikan kelancaran lalu lintas untuk keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Katanya, pasukan itu memudahkan segala input atau maklumat disampaikan dengan pantas kepada petugas JSPT di lapangan agar tindakan segera diambil.
Menurutnya, pergerakan trafik mula sesak apabila orang ramai mula pulang ke Pantai Timur, Utara dan Selatan tanah air sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
“Kita jangkakan sebanyak 170,000 kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur -Karak, 60,000 di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) manakala dua juta kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan bermula hari ini.
“Justeru, Unit Dron PDRM diatur gerak bersama pasukan JSPT sepanjang Op Selamat 19 untuk memantau aliran trafik di lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasukan Dron PDRM kini tempatkan di sektor Utara, Timur dan Selatan dan fokus utamanya membantu JSPT memantau keadaan lalu lintas di lokasi-lokasi hotspot.
“Ia memudahkan segala input disampai dengan pantas kepada petugas JSPT di lapangan supaya segala tindakan diambil dengan segera,” katanya.
Katanya, kerjasama semua pengguna jalan raya dalam mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas akan memastikan tiada tragedi berlaku di musim perayaan ini. – Malaysiapost

