ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri mahu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bertindak lebih tegas terhadap mana-mana pihak yang menjadi punca berlaku isu gangguan bekalan air.
Beliau berkata, sudah tiba masanya Kerajaan Selangor bertindak tegas kepada individu yang cuai, lalai serta tidak bertanggungjawab berkenaan.
“Jangan berkompromi dan berlembut lagi. Ini masa yang terbaik untuk buat pembersihan.
“Rakyat Selangor sudah bosan dan hanya mahukan jalan penyelesaian, bukannya alasan demi alasan,” katanya menerusi Facebook.
Beliau menyarankan supaya tindakan tegas perlu diambil terhadap pesalah dan penjenayah alam sekitar.
Katanya, perbuatan itu menimbulkan kekacauan dan gangguan sehingga menggugat ketenteraman dan kesejahteraan rakyat Selangor.
“Jangan bagi peluang dan jangan bagi muka lagi pada mereka ini. Segera ambil tindakan yang tegas,” katanya.
Azmizam berkata, beliau akan terus menyokong Menteri Besar sekiranya Amirudin terus tegas dalam menjalankan tugas.
Terdahulu, lebih 1.1 juta akaun pengguna di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan empat Loji Rawatan Air(LRA), iaitu Sungai Selangor Fasa 1 (SSF1), Sungai Selangor 2 (SSF2), Sungai Selangor 3 (SSF3) dan Rantau Panjang akibat pencemaran di Sungai terbabit.
Gangguan air tidak berjadual itu melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor serta Kuala Langat. -Malaysiapost

