MAHKAMAH Rayuan Singapura hari ini mengenepikan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang rakyat Malaysia, Gobi Avedian, yang disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah.
Peguam, M Ravi, berkata mahkamah tertinggi Singapura itu menilai semula kes berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak adil kerana tidak mengambil kira bukti tertentu.
Justeru, tertuduh yang kini berusia 34 tahun, sebaliknya dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan, yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum ini pada 2017.
“Mahkamah Rayuan merumuskan bahawa keputusan sebelum ini menggambarkan satu kesilapan dan Gobi berdepan satu ketidakadilan.
“Kes ini menempa sejarah dalam institusi kehakiman Singapura kerana membabitkan semua aspek perundangan, termasuk rayuan pengampunan bagi mengurangkan hukuman yang ditolak oleh Presiden Singapura.
“Adalah amat sukar untuk membuka semula kes ini di Mahkamah Rayuan, sama seperti sukarnya untuk mengenepikan hukuman mati,” katanya seperti dilaporkan Agensi.
Gobi, seorang pengawal keselamatan, dituduh di Mahkamah Tinggi atas dakwaan mengimport 40.22 gram heroin.
Namun, hakim percaya tertuduh tidak mengetahui bungkusan yang dibawanya mengandungi dadah terlarang itu dan bertindak meringankan hukuman dikenakan.
Pada 2017, dia dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, namun susulan rayuan pendakwa, Mahkamah Rayuan mengenakan sabitan asal ke atas tertuduh.
Straits Times sebelum ini melaporkan bahawa Gobi meraih antara RM4,226 hingga RM5,585 sebagai pengawal keselamatan dan bertindak mengedar dadah untuk membayar bil perubatan anak perempuannya.
Dia ditawarkan RM500 untuk membawa setiap paket coklat mengandungi dadah yang dihantar ke Singapura.
Gobi dilaporkan memberitahu, dia membawa masuk dadah ke Singapura sebanyak lapan atau sembilan kali, sebelum ditangkap di Woodlands pada 11 Disember 2014. -Malaysiapost

