PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak harus mudah tersinggung terhadap kritikan dan pertanyaan yang dibangkitkan dalam ceramah politik.
Perkara itu disuarakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan, beliau dan Anwar adalah tokoh awam dan pemimpin parti politik masing-masing yang sentiasa berhadapan dakwaan yang mungkin disalah nyata, disalah sebut atau diambil di luar konteks oleh media.
Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, ucapannya ketika ceramah ‘Grand Finale PN di Padang Serai’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak memfitnah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, sebaliknya ia suatu komen yang adil.
Katanya, ucapan itu adalah sebahagian daripada kempen politik untuk menyokong seorang calon PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ketika itu.
“Plaintif (Anwar) sepatutnya secara terbuka dan sepenuh hati menjawab pertanyaan yang ditimbulkan dan menafikan sebarang dakwaan yang saya dakwa, sebagai palsu.
“Keseluruhan ucapan pada ceramah itu diterbitkan semula di akaun Facebook saya di bawah nama ‘Muhyiddin Yassin’. Saya tidak secara peribadi mengawal atau memuat naik sebarang bahan daripada akaun Facebook saya.
“Saya tidak mempunyai pengetahuan atau kawalan mengenai akaun TikTok di bawah nama “@beritakini8″, yang memuat naik video ucapan terbabit,” katanya dalam penyataan pembelaan terhadap saman Anwar, lapor Bernama.
Malah Muhyiddin menegaskan, beliau tidak mempunyai sebarang pengurusan, kawalan atau kuasa atas mana-mana penerbitan artikel diterbitkan Malaysiakini bertajuk “MB’s aide to Muhyiddin: Anwar paid RM1 as S’gor economic adviser”.
Pada 5 Disember lalu, Anwar memfailkan saman terhadap Muhyiddin berikutan kenyataan dalam ucapan Muhyiddin yang antaranya membawa maksud Anwar tidak boleh dipercayai dan tidak jujur.
Ia berhubung penerimaan jutaan ringgit daripada kerajaan Selangor sebagai Penasihat Ekonomi dan menipu orang ramai dengan menyatakan menerima gaji RM1.
Anwar berkata, kenyataan fitnah itu dirancang terlebih dahulu bertujuan memperlekeh, memfitnah dan merendahkan reputasi serta perwatakannya secara serius, selain memburukkan nama baiknya.
Katanya, Muhyiddin jelas berniat jahat dengan tidak mengendahkan jawapan rasmi bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri (Abdul) Khalid Ibrahim ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 27 Mac 2012, yang menyatakan bahawa gajinya selaku Penasihat Ekonomi Negeri Selangor hanyalah jumlah simbolik RM1. – Malaysiapost

