Remaja maut dihempap pokok tumbang

0
3

SEORANG remaja perempuan berusia 14 tahun meninggal dunia akibat dihempap pokok besar dalam kejadian angin kencang di Kampung Balok Baru, dekat Kuantan, lewat petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.35 petang.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Pahang terima maklumat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng memaklumkan terdapat kes pokok tumbang dan menghempap kanak-kanak perempuan, empat kenderaan awam serta kabel elektrik.

“Sebaik menerima laporan, seramai tujuh pegawai dan anggota dari BBP Gebeng dihantar ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati seorang kanak-kanak perempuan dihempap pokok dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pasukam bomba memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelun mangsa dihantar ke hospital dengan menggunakan kenderaan keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan kejadian itu dan mangsa disahkan meninggal dunia.

“Mangsa dikenali Aliya Zahra Mohammad Hasnizam berusia 14 tahun dan berasal dari FELDA Cerul Satu, Kemaman, Terengganu,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here