
Nurul Huda Abhar
GANJARAN sebanyak RM20,000 akan diberikan kepada individu yang berkongsi maklumat mengenai pencemaran air kepada pihak berkuasa.
Exco Selangor, Hee Loy Sian berkata, usaha itu diwujudkan bagi membantu kerajaan mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti pencemaran alam sekitar.

“Sehingga mahkamah dapat keputusan, wang itu akan diserahkan kepada mereka yang bagi maklumat. Orang yang beri maklumat akan dirahsiakan maklumat peribadi mereka.
“Langkah ini diambil supaya orang ramai boleh membantu kita dalam mengesan pihak-pihak yang melakukan aktiviti pencemaran,” katanya ketika sidang media di Kolam Tebatan Banjir, Sungai Gong hari ini.
Menurut Loy Sian, beliau tidak menafikan wujud kilang-kilang yang melakukan kerja-kerja tidak bertanggungjawab seperti membersihkan kenderaan atau penyelenggaraan jentera dan melepaskan air basuhan tersebut terus ke longkang.
Katanya, siasatan terperinci mengenai kejadian tersebut telah dijalankan dan tindakan undang-undang akan dikenakan jika didapati bersalah.
Namun, beliau menjelaskan tidak wujud kilang haram di sepanjang Sungai Selangor.
“Kilang yang dipercayai terlibat dalam pencemaran sungai terletak sejauh 30 hingga 50 kilometer (km) daripada sungai.
“Kilang-kilang tersebut terletak di daerah Rawang. Bahan cemar yang dihasilkan mereka mengalir ke sungai kerana ia dilepaskan di longkang.
“Bahan cemar itu mereka lepaskan ke longkang dan terus disalirkan ke Sungai Selangor. Jadi banyak salah faham kata kita tidak ambil tindakan.
“Sebenarnya Majlis Perbandaran Selayang dan JAS sentiasa buat pemantauan,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2, 3 dan LRA Rantau Panjang masih belum beroperasi ekoran insiden pencemaran air mentah di Sungai Selangor.
Menurut kenyataan itu, sehingga jam 2 petang, tahap pencemaran bau di Sungai Selangor berada pada tahap 0 TON, dan bacaan masih tidak konsisten pada tahap 0 TON apabila diuji sebanyak tiga kali berturut-turut.
Berikutan itu, loji masih belum boleh beroperasi buat masa ini.
“Henti tugas ini menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,700 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada pengguna di 1,292 kawasan.
“Air Selangor akan mengumumkan jadual pemulihan apabila loji sudah mula beroperasi,” katanya. -Malaysiapost
