Hajiji pengerusikan mesyuarat Kabinet pertama Jemaah Menteri baharu

0
2

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama bersama Jemaah Menteri yang baharu sejak krisis politik di negeri itu.

Turut hadir ialah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Datuk James Ratib.

Kedua-duanya ingkar arahan Umno Sabah untuk menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Hajiji sebelum ini.

Minggu lalu Shahelmey yang juga Adun Tanjung Keramat dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III (TKM) Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu.

Beliau yang sebelum ini adalah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat menggantikan Adun Lamag yang juga Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang digugurkan.

James yang juga Adun Sugut dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Sementara itu Hajiji menerusi hantaran di Facebooknya berkata hasil mesyuarat itu beberapa perkara mesti disegerakan.

Katanya, beliau telah mengarahkan semua kementerian bersama jabatan dan agensi Kerajaan Sabah untuk memberikan fokus kepada peranan masing-masing.

“Lain-lain perkara penting juga dibincangkan termasuk agenda yang akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dijadualkan pada Jumaat ini, di Kuching,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here