PAS Selangor hari ini mengumumkan pelantikan Low Lee Leong sebagai Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Melayu kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.
Beliau akan membantu Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, mendekati masyarakat bukan Melayu dengan menjalin serta membina hubungan antara PAS Selangor dan komuniti, NGO serta badan berkepentingan melibatkan masyarakat Cina, India dan lain-lain.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata PAS Selangor melalui Perikatan Nasional (PN) serius dalam menyediakan diri untuk menjadi alternatif kepada kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri 2023 ini.
Katanya, pelantikan Lee Leong juga sebagai tanda menginsafi bahawa Selangor merupakan negeri berbilang kaum dan budaya dengan hampir 39 peratus rakyatnya terdiri masyarakat bukan Melayu dan Bumiputera.
“Saudara Low yang berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Aerongkasa dari Universiti Putra Malaysia bersama pasukannya dijangka mampu memberi imej dan perspektif sebenar PAS kepada masyarakat bukan Melayu di Selangor.
“Dengan harapan mereka akan lebih faham dan tidak teragak-agak mengundi PAS dan PN dalam PRN Selangor 2023 nanti,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – Malaysiapost

