Ismail Sabri tak puas hati tak dipilih jadi ‘menteri angkat’ – Nur Jazlan

0
3

TINDAKAN beberapa pemimpin Umno mengulas keputusan dibuat oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 minggu lalu agar dua jawatan tertinggi parti tidak dipertanding, diumpamakan seperti ‘rumah siap pahat masih berbunyi’.

Timbalan Pengerusi Umno Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata walaupun majoriti perwakilan Umno yang hadir pada PAU 2022 sudah membuat keputusan itu, tetapi masih ada suara-suara sumbang yang masih tidak berpuas hati.

Menurutnya, antara yang menyuarakan pandangan berbeza dengan keputusan perwakilan mengenai perkara itu adalah Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Naib Presiden Umno sendiri yang juga Perdana Menteri kesembilan, buat lain cakap lain. Ketika proses pengundian usul itu dibuat, dia boleh pula berdiri dan sokong tapi bila keluar dewan, dia buat pula sidang media dan mempertikaikannya.

“Sepatutnya kalau dah setuju tu duduk diam saja dan kalau tak setuju, jangan duduk gatal-gatal nak bangun dan sokong,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berpendapat, Ahli Parlimen Bera itu sebenarnya tidak puas hati kerana beliau satu-satunya Naib Presiden Umno yang tidak dipilih untuk jadi ‘menteri angkat’ kepada negeri-negeri yang akan terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Bila Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sebut nama Khaled (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) dan Mahdzir (Datuk Seri Mahdzir Khalid) tapi nama Ismail Sabri tak ada, dia kena terima hakikat.

“Mungkin Presiden sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap beliau asbab macam-macam perkara yang dibuat menongkah arus sepanjang jadi Perdana Menteri dulu.

“Mungkin itulah harga yang dia perlu bayar bila selama ini terlalu mengikut telunjuk Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi Perikatan Nasional) berbanding arahan parti selama dia menjadi wakil Umno sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Nur Jazlan berkata, begitu juga sikap Pengerusi Umno Johor Datuk Seri Hasni Mohammad yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam yang baru berani bersuara tentang isu sama.

“Selama ini dia hanya ambil sikap kunci mulut dan tak keluarkan kenyataan apa-apa pasal pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden itu.

“Tahu-tahu saja, wakil Umno Johor, Datuk Pandak Ahmad ketika berucap ketika sesi perbahasan ucapan dasar Presiden dengan tegas mengatakan Umno Johor mahu dua jawatan itu dipertandingkan,” katanya.

Beliau berkata, setahunya Umno Johor tidak pernah dipanggil mesyuarat untuk berbincang mengenai ketetapan mengenai isu berkenaan.

“Kenapa keputusan dibuat tanpa berbincang atau maklumkan kepada pucuk pimpinan Umno Johor yang lain? Adakah tindakan itu juga boleh dianggap sebagai demokrasi?” soalnya.

Nur Jazlan turut menyebut dua lagi nama pemimpin Umno yang dikatakan tidak bersetuju jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Pemimpin dimaksudkan itu adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here