PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di Pejabat Agung PAS hari ini.
Abdul Hadi berkata, mereka berkongsi pandangan tentang pentingnya mengukuhkan hubungan baik antara Malaysia dan Singapura, seterusnya mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi di kalangan negara serantau.
“Saya juga menjelaskan tentang dasar-dasar pemerintahan Islam terhadap masyarakat bukan Islam yang mengamalkan konsep adil untuk semua,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Islam juga mengutamakan perdamaian dalam hubungan antarabangsa yang perlu menjadi polisi utama terutamanya dengan negara-negara jiran.
“Semoga hubungan Malaysia-Singapura terus diperkukuhkan demi kesejahteraan negara serantau di Asia Tenggara,” katanya.
Terdahulu, Menteri Luar Singapura itu turut melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
Anwar memaklumkan, mereka bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala dan serantau yang menjadi kepentingan bersama.
Kelmarin, Vivian turut melakukan kunjungan ke atas rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sempena lawatan kerja beliau ke Malaysia selama empat hari. – Malaysiapost

