Mangsa sindiket pekerjaan diugut makan tikus, babi serta akan dirogol

0
2

SEORANG mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar mendedahkan dirinya diugut makan tikus dan daging babi, selain akan dirogol ketika berada dalam cengkaman sindiket berkenaan.

Remaja berusia 19 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Sha antara mangsa yang berjaya diselamatkan daripada sindiket terbabit bersama dua yang lain.

Ketiga-tiga mereka berusia antara 19 dan 33 tahun dibawa pulang dari Bangkok, Thailand dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 11 pagi, diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang.

Sha yang berasal dari Johor Bahru berkata, dia berada di Myanmar sejak empat bulan lalu selepas tergoda dengan gaji RM4,000 ditawarkan ejen sindiket melalui Facebook.

Katanya, ejen terbabit menawarkan kerja di dalam syarikat ‘forex’ atau tukaran mata wang asing di Thailand, namun tidak menyangka dibawa ke Myanmar dan menjadi mangsa sindiket pekerjaan.

Sindiket didalangi warga China itu, katanya, menetapkan setiap pekerja perlu mendapatkan 3,000 yuan sehari dengan menyasarkan rakyat Malaysia melalui aplikasi pembayaran sewa kereta dan e-hailing.

“Sekiranya gagal menepati sasaran, sindiket akan mengenakan denda iaitu bekerja lebih 12 jam sehari, ketuk ketampi 100 kali dan tidak diberikan gaji dan makanan,” katanya.

Rakannya, Muhammad, 26, dari Terengganu berkata, dia dan Sha saling mengenali dan tawaran kerja itu diketahui melalui rakannya itu sebelum mereka bersetuju ke Thailand menggunakan jalan darat dari Johor Bahru ke Kelantan.

Di Kelantan, katanya, mereka dibawa masuk ke negara jiran oleh seorang ejen sindiket melalui melalui sungai dan laluan tikus di sempadan di Golok.

“Sebaik memasuki Thailand kami tidak tahu lokasi tepat kami berada sebelum terus dibawa ke Myanmar untuk ditempatkan di sebuah bangunan untuk bekerja dengan sindiket terbabit.

“Telefon bimbit kami dirampas menyebabkan sukar untuk menghubungi pihak luar bagi mendapatkan bantuan. Di sana sindiket menempatkan kami di sebuah bangunan dan terdapat kira-kira 16 rakyat Malaysia lain turut menerima nasib sama seperti kami,” katanya.

Mohammad berkata, dia sempat menghubungi adiknya awal bulan lalu bagi mendapatkan bantuan menggunakan telefon sindiket selepas tidak sanggup berhadapan pelbagai seksaan.

Katanya, mereka kemudian diselamatkan seorang rakyat Malaysia, Victor Wong yang tinggal di Thailand bersama beberapa anggota tentera Thailand selepas menerima maklumat dari Malaysia.

Terdahulu, suasana hiba menyelebungi balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila tiga mangsa penipuan berkenaan disambut keluarga sebaik tiba di tanah air .

Misi berkenaan sepatutnya turut membawa pulang lima orang kesemuanya, namun dua mangsa lagi masih berada di Bangkok kerana masalah teknikal melibatkan dokumentasi perjalanan. – Malaysiapost

Kredit foto: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here