Ahmad Zahid prihatin isu jambatan uzur di Kampung Orang Asli Brooke Lama

0
2

PIHAK Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan sudah diarah mengambil tindakan segera berhubung aduan jambatan uzur di Kampung Orang Asli Brooke Lama, Gua Musang.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata proses baikpulih atau penambahbaikan akan dilakukan sekiranya perlu demi keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya amat prihatin setelah membaca sebuah artikel berkenaan keadaan jambatan uzur yang berdepan risiko keselamatan termasuk kehilangan nyawa di Gua Musang, Kelantan.

“Seperti yang dilaporkan, hampir 500 penduduk orang asli berhampiran Kampung Orang Asli Brooke Lama, Pos Brooke yang mengguna-pakai jambatan tersebut untuk pelbagai tujuan termasuklah menghantar anak ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun berkata, pihaknya dimaklumkan siasatan yang dilakukan mendapati jambatan uzur berkenaan bukanlah satu-satunya laluan keluar masuk yang ada di kawasan terbabit.

“Pihak JAKOA telah membina sebuah jalan konkrit di sebelah belakang kawasan kampung yang seterusnya bersambung dengan jalan berturap tar menuju ke Kampung Orang Asli Liak dan Kuala Rengil.

“Jalan konkrit tersebut merupakan laluan utama dan boleh diakses oleh kereta, pacuan empat roda dan motosikal,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 500 penduduk di Kampung Brooke Lama, memohon pihak bertanggungjawab untuk menggantikan sebuah jambatan besi berusia 15 tahun di kampung itu yang semakin uzur.

Penghulu Rian Bujang, 48, berkata jambatan besi menyeberangi Sungai Belatop itu hanya boleh dilalui dengan motosikal atau berjalan kaki untuk penduduk membuat pelbagai urusan termasuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan Brooke.

Katanya, permohonan untuk membaiki dan menaik taraf jambatan telah dibuat sebelum ini, namun belum mendapat sebarang maklum balas dan tindakan daripada pihak berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here