Tolak sokong usul tambahan, Noh dakwa dibawa tak ikut peraturan

0
3

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Noh Omar mengaku beliau antara individu yang tidak menyokong usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu secara peribadi melihat usul tambahan berkenaan dibawa tidak mengikut peraturan.

Beliau turut dimaklumkan ada tiga ahli MKT yang tidak berdiri ketika undian dijalankan.

“Dari segi peraturan, saya secara peribadi melihat usul yang dibawa tidak mengikut peraturan. Kalau kita buat sesuatu biar ikut peraturan supaya orang luar melihat kita tak buat sesuka hati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Menurut Noh, ketika mesyuarat MKT, hanya tujuh usul sahaja dibincangkan dan tidak termasuk usul pertandingan jawatan tertinggi parti.

“Apa yang berlaku adalah usul tersebut adalah usul tambahan dan bukan usul pindaan. Perkara 20 Perlembagaan Umno merujuk kepada usul pindaan bukan tambahan.

“Jadi usul tambahan tersebut tidak melalui mesyuarat MKT dan saya lihat ini bercanggah dengan peraturan sedia ada. Kalau usul tersebut dibincangkan dalam MKT, saya akan menyokong usul tersebut.

“Kalau dulu Presiden menang bertanding tanpa apa-apa jawatan dalam kerajaan, tak mustahil beliau mampu menang memandangkan beliau sekarang adalah seorang Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata beliau banyak menerima pertanyaan mengapa tidak bangun menyokong usul tambahan dibawa wakil Negeri Sembilan itu pada PAU yang lalu.

“Kenapa saya tidak bangun menyokong usul tambahan yang dibawa wakil dari Negeri Sembilan. Adakah saya masih berdendam atau marah dengan Presiden?.

“Bab saya dengan Presiden, itu urusan antara kami. Saya dimaklumkan ada tiga orang ahli MKT tidak berdiri semasa undian dijalankan,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan di Facebook, Noh melahirkan kebimbangan peluang Umno berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri susulan keputusan berkenaan.

“Saya amat bimbang, dengan alasan agar Umno tidak berpecah, maka pindaan Perlembagaan dilakukan agar pemilihan parti diadakan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

“Akhirnya Umno tinggal 26 kerusi Parlimen. Sekarang bakal PRN di enam Negeri dan menggunakan alasan yang sama, iaitu mengelakkan pepecahan dalam parti.

“Saya amat bimbang pengundi-pengundi di enam negeri ini akan menolak calon Umno,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here