Najamuddin Mohd Nor
VETERAN Umno membidas kenyataan pemimpin DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang disifatkan celupar kerana
membayangkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘beban’ kepada Umno, Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub, berkata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II itu sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan melulu yang boleh menggugat keharmonian Kerajaan Perpaduan.
“Veteran Umno Malaysia menasihati Ramasamy, supaya cermat berkata-kata dan jangan celupar dalam membuat kenyataan demi untuk menjaga keharmonian hubungan antara parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan.
“Perlu diingat hubungan antara Umno dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan adalah atas nama PH dan bukannya dengan DAP,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Mustapha juga menegaskan, selepas berakhir keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Umno yang menang 30 kerusi Parlimen bersama Barisan Nasional (BN) telah bersedia menjadi pembangkang.
“Umno tidak pelahap untuk bersama dengan DAP kalau bukan kerana PH.
“Kesediaan Umno untuk bersama PH bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan demi menunaikan titah Agong setelah PH dan Perikatan Nasional (PN) gagal menubuh kerajaan.
“Umno telah bersedia untuk jadi pembangkang tetapi memikirkan kepentingan rakyat dan negara maka Umno sanggup bersama PH menubuh kerajaan. Umno tidak mungkin akan menubuh kerajaan kalau bersama DAP,” katanya.
Menurutnya, Umno dan BN mengambil keputusan bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan setelah mengambil kira mudarat yang diterima berbanding jika bersama PN.
“PH yang memerlukan Umno untuk menubuh kerajaan bukannya Umno yang terhegeh-hegeh mahukan penubuhan kerajaan bersama PH,” tegasnya.
Beliau mendakwa Ahli Dwan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu berani bercakap sombong mengatakan Ahmad Zahid menjadi beban kepada PH dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kerana Ramasamy hanya bertanding di Pulau Pinang.
“Samy berani bercakap sombong seperti itu kerana dia bertanding di Pulau Pinang dan dia menang dengan sokongan pengundi Cina.
“Veteran cabar Samy supaya PRN ini dia keluar dari kawasan zon selamat pengundi Cina dan bertanding di kawasan pengundi India. Kita lihat siapa yang akan jadi beban kepada PRN nanti,” cabarnya. – Malaysiapost

