Tiada keberkatan jika penipu, pencuri dan perompak bersatu bentuk perpaduan – Abdul Hadi

0
3

PERPADUAN mestilah dipimpin oleh Islam yang berintegriti mengikut takrif yang tepat dan bukan dipimpin kalangan yang tidak beriman, tidak berakhlak dan tidak berilmu, serta bukan pula berwala’ kepada musuh Islam yang nyata.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata Islam melaksanakan konsep penyatuan dan perpaduan yang menyeluruh dalam segala aspek, dan melibatkan seluruh manusia bukan sahaja umat Islam.

Menurutnya, adapun perpaduan dengan masyarakat bukan Islam itu adalah berkonsepkan kemanusiaan, maka diwajibkan menegakkan keadilan kepada semua termasuk bukan Islam yang bersedia berada di bawah pemerintahan Islam.

“Semua pihak bercakap mengenai perpaduan dan bertolong-menolong seperti perpaduan umat, perpaduan rakyat, perpaduan masyarakat, kerajaan perpaduan dan lain-lain.

“Namun, semuanya mestilah memahami makna perpaduan mengikut takrifnya yang sebenar,” katanya dalam Minda Presiden Pas di laman Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, konsep perpaduan adalah bersatu atas titik persamaan sahaja dan bertasamuh (bertoleransi) dalam perbezaan serta kelainan mengikut garis sempadannya dan kalau tiada ciri-ciri berkenaan, maka bukanlah ia dinamakan perpaduan.

“Islam menolak daripada bersatu dan bekerjasama dengan kumpulan haram seperti kumpulan perompak, pencuri dan penipu.

“Apabila semua kumpulan itu bersatu mengadakan pakatan, walaupun tujuannya untuk kebajikan dengan menunaikan perkara wajib dalam agama, maka kerjasama itu tetap tiada keberkatan dan amalannya pula ditolak oleh Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, perpaduan dalam skop lebih besar sehingga dalam konteks menubuhkan negara dan kerajaan, pula mesti dilihat tidak terbentuk daripada hasil salah laku, rasuah, menipu, zalim dan lain-lain.

“Mesti dilihat juga takrifnya yang sahih dalam istilah politik. Kerajaan Perpaduan bermakna tiada pembangkang atau pembangkang terlalu kecil dan tidak bermaya.

“Jika pembangkangnya sangat besar, jadilah kerajaan itu ‘berkepala besar’ bukannya kerajaan perpaduan. Jika kepalanya terlalu besar lebih besar daripada jasadnya, maka kemungkinan jatuhnya itu lebih mudah,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Islam mengharamkan bekerjasama dan bersatu sehingga berwala’ (berwali) dalam satu perpaduan dengan mana-mana kumpulan yang menentang Islam dan umatnya.

“Islam hanya mengizinkan perbezaan dan berlainan agama berkonsepkan tiada paksaan beragama, tetapi meraikan perbezaan itu tanpa permusuhan dan penentangan serta tidak meninggalkan prinsip Islam yang nyata.

“Penentangan terhadap pelaksanaan Islam bagi umat Islam sahaja dengan bantahan dan protes adalah suatu sikap permusuhan yang nyata terhadap Islam dan penganutnya,” katanya.

Beliau berkata, Islam menegaskan semua keputusan diambil mestilah mengikut perhitungan hukumnya dan di situlah letaknya batas sempadan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Tidak mudah untuk menyertai perpaduan yang salah takrifnya serta tidak mengikut prinsip dan konsep Islam.

“Pihak yang bermusuh terhadap Islam, kini sedang menjual propaganda Islamofobia yang menjadi halangan untuk sementara waktu sahaja. Demikian itu, kerana manusia tidak boleh ditipu untuk selama-lamanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here