PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan enggan campur tangan dalam urusan Umno terutama dalam isu pemilihan dua jawatan tertingginya berikutan sudah meninggalkan parti itu.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak lagi mempunyai kaitan bersama Umno dan tidak perlu terbabit dalam apa keputusan dibuat pemimpin parti berkenaan.
“Saya sudah tinggalkan Umno lama, sudah 30 tahun, jadi tak ada kena mengena dengan Umno lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan Persekutuan dan Negeri Perlis di Dewan 2020, Kangar, hari ini.
Anwar mengulas mengenai keputusan Mesyuarat Agung Umno (PAU) Sabtu lalu, bahawa tiada pertandingan akan dibuat membabitkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu.
Usul tambahan itu dikemukakan wakil Umno Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin pada sesi mesyuarat Jumaat lalu, dan diluluskan melalui undian suara dalam kalangan perwakilan.
Kelulusan pengundian usul itu yang dilakukan secara tertutup di Dewan Merdeka diumumkan Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruddin selaras Fasal 30 Perlembagaan Umno dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.
Ini bermakna, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan akan memegang jawatan itu untuk tempoh tiga tahun lagi. – Malaysiapost

