AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mahu urusan kerajaan digantung sementara bagi memberi laluan unsul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dilaksanakan.
Maszlee berkata, susulan itu beliau telah menghantar Usul itu di bawah Peraturan 90 (2) supaya Perdana Menteri tidak lagi boleh menghalang ‘amarah’ rakyat dengan berselindung di sebalik teknikal undang-undang.
“Usul ini meminta agar Dewan Rakyat memutuskan supaya urusan Kerajaan ditangguhkan sementara dan usul undi tidak percaya yang dibawa Ahli Parlimen Langkawi dibaca dan diputuskan terlebih dahulu.
“Usul ini pada asasnya bukanlah untuk menambah rumit kemelut politik sedia ada di saat rakyat sedang berdepan bencana.
“Namun, hakikatnya ususl ini tampil untuk menamatkannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya ahli-ahli Dewan melihat penting agar usul undi tidak percaya didahulukan, maka ahli-ahli
Dewan boleh menyokong usul berkenaan.
“Ini supaya usul undi tidak percaya boleh didengar dan diputuskan.
“Kemelut dan krisis politik yang kita semua hadapi hari ini boleh ditamatkan dan semua ini boleh diselesaikan di Dewan Rakyat.
“Inilah masanya untuk semua menunjukkan keikhlasan masing-masing, ketika rakyat berdepan bencana Covid-19 dan berada dalam kesusahan,” katanya.
Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, beliau mengemukakan usul itu 15 Oktober lalu kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
“Saya tahu sudah ramai Ahli Parlimen yang menghantar Usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
“Tetapi seperti biasa, PM akan menggunakan senjata ampuhnya iaitu Peraturan Mesyuarat 15 (1) yang menyatakan bahawa urusan Kerajaan (apa-apa urusan yang dikehendaki oleh kerajaan) hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain.
“Sebab itu sebarang usul yang melibatkan ketidakpercayaan Dewan terhadap PM akan diketepikan,” katanya.
Maszlee berkata, perkara itu adalah punca selama ini usaha ahli-ahli parlimen yang mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri menemui jalan buntu.
Beliau berkata, Dewan Rakyat akan disibukkan dengan urusan Kerajaan dan ia taktik politik dalam sistem demokrasi berperlembagaan apatah lagi apabila Perdana Menteri tahu majoriti Ahli Parlimen tidak menyokongnya di Dewan Rakyat.
“Namun dalam masa yang sama, usul ini penting untuk memastikan keabsahan sokongan terhadap PM dan sekaligus menentukan kestabilan politik negara.
“Apakah ada cara lain untuk kita, ahli-ahli parlimen dengan sokongan jitu rakyat Malaysia, memastikan usul ketidakpercayaan kita terhadap PM didengar dan diterima di Dewan Rakyat?
“Jawapannya, ada. Demokrasi bukan semestinya aparatus sang penguasa sahaja, tetapi juga ruang untuk rakyat menyuarakan pandangan mereka,” katanya.
Beliau berkata, pandangan itu harus didengar, dibincang, serta dibahas.
“Itulah fungsi utama Dewan Rakyat. Dewan Rakyat tidak boleh digunakan untuk mencari alasan dan peraturan untuk menyebelahi Kerajaan sahaja.
“Dalam konteks ini lah, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah terkhilaf apabila menyatakan bahawa satu- satunya cara untuk usul tidak percaya boleh mendapat laluan untuk diputuskan oleh Dewan Rakyat ialah dengan berunding bersama pihak Kerajaan,” katanya.
Beliau berkara, ini bukan hakikat sebenarnya kerana masih ada cara dan
lunas lain yang dibenarkan oleh Peraturan Mesyuarat itu sendiri. -Malaysiapost

