BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan kini berada di London, United Kingdom (UK) digesa pulang ke tanah air bagi menjawab dakwaan mengenai penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM92.5 bilion ketika pentadbirannya.
Gesaan itu turut dibuat oleh Ketua Penerangan Umno Isham Jalil, yang berpendapat rakyat menunggu kepulangan Perdana Menteri kelapan itu bagi menjawab pertuduhan rasuah berkenaan.
“Tan Sri Muhyiddin, sudah pulang dari London atau belum? Pulanglah. Sudah lama sangat di luar negeri. Pulang dan jawab berkenaan RM92.5 billion.
“Dan jawab tuduhan rasuah pengundi PN Best. Berkenaan .best direct nego’ RM berbillion. Rakyat menunggu dan ingin tahu.
“Mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunggu. Mahkamah juga menunggu. Saksi-saksi juga menunggu. Salam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau merujuk kepada gambar Muhyiddin yang disunting dengan berpakaian seragam tentera pengawal diraja Istana Buckingham, di London yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Keberadaan Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) di luar negara itu dipersoalkan netizen selepas timbul isu dakwaan penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM92.5 bilion ketika pentadbirannya.
Gambar tular berkenaan, tertulis kapsyen yang berbunyi: “Pulanglah Abah, Muhyiddin sudah terlalu lama di London. Baliklah ke Malaysia dan jelaskan RM92.5 billion”.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu dilaporkan ke London yang didakwa untuk bertemu dengan beberapa pemimpin Umno bagi ‘Langkah London’ yang dikatakan bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost

