PERBICARAAN kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini dijadualkan semula pada 10 April ini.
Tarikh baharu itu ditetapkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bertemunya di kamar hakim sebelum prosiding bermula pagi tadi.
Presiden Umno itu membuat kemunculan pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri di mahkamah hari ini, bagi prosiding bela diri 47 pertuduhan dihadapinya, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.
Memetik laporan Berita Harian, di awal prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran menarik perhatian mahkamah dengan merujuk Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika kes itu disebut.
“Tertuduh atau lebih tepat saya katakan sebagai timbalan perdana menteri berada dalam kandang tertuduh hari ini bagi sebutan kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan tambahan bagi membela diri.
“Tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak ialah 12 hingga 15 Jun dan 24 hingga 27 Julai disusuli pada 1 hingga 3, 7 hingga 10 dan 21 hingga 24 Ogos.
“Tarikh yang sudah ditetapkan sebelum ini pada 10 hingga 13 April dan 15 hingga 18 Mei dengan ini dikekalkan,” katanya.
Bagaimanapun tidak dimaklumkan mengapa perbicaraan yang dijadualkan bersambung hari ini tidak dapat diteruskan.
Pada 2 November lalu, mahkamah menangguhkan perbicaraan kepada hari ini hingga 19 Januari ini.
Ahmad Zahid yang diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, didakwa atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah sepanjang menjadi Menteri Dalam Negeri antara 2013 dan 2018. – Malaysiapost

