PKR akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal sebaik keputusan mengenai kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) dimuktamadkan.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata calon bagi PRN akan diumumkan lebih awal daripada tarikh pilihan raya.
Katanya, di peringkat PKR, tindakan memuktamadkan calon akan dilakukan selepas perayaan Tahun Baharu Cina ini.
“Sememangnya jabatan pilihan raya PKR antara paling awal mengumumkan calon, cuma dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, tempoh masa yang kita ada adalah pendek iaitu kurang satu bulan dan seolah-olah calon itu diumumkan terlalu dekat dengan pilihan raya.
“Dari segi prinsipnya sememangnya kita (PKR) lebih awal, namun dalam konteks PRN Negeri Sembilan ini, ia tertakluk kepada memutakmadkan terlebih dahulu bentuk kerjasama dengan BN/Umno.
“Bila perkara itu telah berlaku, Insya-Allah, calon daripada PKR akan diumumkan jauh lebih awal daripada tarikh pilihan raya,” katanya memetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen PRN Negeri Sembilan, malam tadi.
Turut hadir, Menteri Besar merangkap Naib Presiden PKR dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Seri Aminuddin Harun.
Rafizi berkata, proses pencalonan dan saringan akan mula dilaksanakan selepas perayaan Tahun Baharu Cina ini.
“Oleh sebab proses itu akan mengambil pandangan semua pihak, ia mungkin akan mengambil sedikit masa, tapi kita tidak akan tunggu dan akan buat secara selari dulu sementara menunggu keputusan mengenai rundingan dengan BN.
“Proses pencalonan ini akan dimulakan dalam tempoh dua minggu dari sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi menaruh keyakinan rundingan kerjasama antara PH dan BN di Negeri Sembilan dijangka paling mudah kerana ketokohan Aminuddin dengan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, faktor lain termasuk prestasi kedua-dua parti iaitu PKR dan BN/Umno yang dilihat seimbang di Negeri Sembilan.
“Pandangan saya yang banyak terbabit dengan rundingan, Negeri Sembilan ini dianggap mudah dan tiada isu besar dalam muktamadkan kerjasama pilihan raya,” katanya.
Rafizi yakin PH mampu mengulangi kejayaan dalam PRN ini dan kekal memerintah Negeri Sembilan kerana beranggapan pencabar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) adalah lemah.
Menurutnya, berbanding kekuatan PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dirasai kesan dan kekuatan gabungan itu.
“Malah di Selangor juga, ia dapat dirasai kesannya, tapi itu tidak menjadi alasan untuk PH terutama PKR mengambil mudah PRN kali ini.
“Beberapa perkara yang menjadi fokus kita, PRN ini juga menjadi medan kerjasama antara PH dengan BN/Umno,” katanya. – Malaysiapost

