TIMBALAN Ketua Menteri Pulau Pinang Dr P Ramasamy disifatkan sebagai sakit mental apabila mendakwa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai beban kepada Umno dan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu sepatutnya sedar bahawa dirinya adalah beban kepada DAP.
“Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Ramasamy dakwa Zahid beban pada Umno. Dia lupa dirinya adalah beban kepada DAP. Sebab itu DAP Putrajaya desak Ramasamy dikenakan tindakan disiplin.
“Dia marah kenapa seorang sahaja Menteri India dalam Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri). Dia tuduh Dr Zakir Naik sebagai “syaitan”. Dia menjulang perjuangan keganasan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LLTE).
“Lebih teruk dia tuduh kes tiga anak Loh Siew Hong yang memeluk agama Islam di Perlis sebagai penculikan. Ada tuduhan, Ramasamy sakit mental,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mohd Puad yang juga ADUN Rengit dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mengulas mengenai kenyataan Ramasamy semalam, yang berpendapat keputusan mengekalkan Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno dilihat menjadi ‘beban’ kepada parti itu dan PH.
Ramasamy berkata, keputusan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 hanya memberi kelegaan sementara kepada Ahmad Zahid, namun ia seolah-olah menjadi duri dalam daging dalam gabungan itu. – Malaysiapost

