PELAKON Puteri Sarah Liyana tidak takut untuk memikul gelaran ibu tunggal meskipun sedar status tersebut bakal memberi perubahan besar kepada dirinya dan anak-anak.
Pemilik nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu turut berkata, sudah biasa menjalani hidup bersama anak-anak dan kembali aktif berlakon, walaupun krisis rumah tangga bersama pengarah terkenal Syamsul Yusof dalam belum selesai.
“Kalau kita letak positif ia jadi positif. Tidak salah jadi ibu tunggal asalkan teruskan hidup (normal). Macam sekarang Sarah shooting, bila cuti Sarah keluar dengan anak-anak,” katanya dalam satu temu bual bersama media.
Pelakon Suri Hati itu juga terharu dan dihargai apabila dirinya dijadikan inspirasi wanita lain yang turut berpengalaman bergelut dalam krisis rumah tangga.
“Saya terharu (wanita lain jadikan inspirasi). Bila mereka tengok kita lawan, ada yang hantar pesanan kat Sarah beri tahu mereka tidak mahu apa-apa. Cuma mahu pinjam kekuatan, aura awak. Kepada wanita di luar sana semoga kuat, tabah,” ujarnya.
Sarah berkata, meskipun dirinya secara lantang mempertahankan haknya sebagai isteri di media sosial namun tidak pernah ada lelaki lain yang mengambil kesempatan ‘membalut’ luka atas keadaan dirinya.
Ujarnya, walaupun ada lelaki yang bersikap berat sebelah apabila melibatkan kes melibatkan ‘orang ketiga’, ada juga lelaki yang menyokong apabila nasib para isteri ditindas.
“Bila lelaki memberi sokongan mereka memahami situasi yang berlaku pada wanita.
“Ada sesetengah lelaki yang sokong satu pihak, berat sebelah. Bagi yang sokong wanita itu.. tahniah anda memahami wanita,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Sarah memberitahu kedua-dua anaknya sudah tidak kerap bertanya keberadaan Syamsul kerana mereka lebih rapat dengan dirinya, dan kini tinggal bersama keluarga.
“Anak-anak tiada tanya ayah mereka. Sumayyah rapat dengan ayahnya tapi tidak ada sampai kerap tanya mana ayah. Mereka lagi rapat dengan Sarah dan semua keluarga ada tidak nampak kosong sangat,” ujarnya.
Puteri Sarah dijangka akan memfailkan perceraian dengan suaminya, Syamsul di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, esok.
Perkara tersebut disahkan oleh peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah.
Peguam terbabit turut memberitahu pada ketika ini, hanya permohonan cerai sahaja yang akan difailkan Isnin ini.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4. – Malaysiapost

