‘Desperado akan terus burukkan Umno selagi Zahid ketua’ – Puad

0
2

AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi percaya kumpulan desperado dalam Umno akan terus ‘mengasah senjata’ untuk memburukkan parti selagi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Presiden.

Beliau berkata demikian merujuk kepada dakwaan Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin yang mendakwa wujud pengundi hantu bagi meluluskan usul agar dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.

Malah, Mohd Puad hairan bagaimana Khairy mendapat cerita berhubung kewujudan pengundi hantu tersebut pada Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022), semalam.

“Hairan juga, mana KJ (Khairy) dapat cerita wujud pengundi hantu di PAU Umno. Mesti ada hantu yang bagi maklumat salah kepada KJ.

“Masalahnya KJ percaya pula kepada hantu tersebut. Begitu sekali cara KJ melepaskan geramnya kepada Umno,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, beliau juga percaya tidak mustahil ada pihak yang akan mengadu kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) kononnya usul tambahan semalam tidak sah.

“Tetapi ‘boo’ dan ‘pengundi hantu’ gagal jadi persepsi untuk memburukkan Umno.

“Tidak mustahil (juga) ada pula yang akan mengadu kepada RoS kononnya usul tambahan itu tidak sah. Sedangkan itu bukan usul pindaan perlembagaan,” katanya.

Terdahulu, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno mendakwa wujud komplot ‘Langkah Dewan Merdeka’ untuk meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Khairy mendakwa, ‘tag’ (tanda) pada kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan Umno sudah ditanggalkan ketika ini sebagai usaha membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi meluluskan usul tambahan berkenaan.

PAU 2022 semalam, meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.

Ini bermakna Ahmad Zahid kekal sebagai presiden dan Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Timbalan Presiden Umno. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here