Shahidan cadang Zahid jadi Presiden Umno seumur hidup

0
2

BEKAS Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim secara sinis mencadangkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Presiden Umno seumur hidup.

Serentak itu, beliau menyarankan kes mahkamah membabitkan Timbalan Perdana Menteri itu turut ditangguh sehingga lima tahun supaya dapat mentadbir negara dengan aman dan damai.

“Saya mengucapkan tahniah kerana Presiden sebuah parti tidak perlu dipertandingkan.

“Saya mencadangkan beliau (Ahmad Zahid) menjadi Presiden seumur hidup dan kes mahkamah ditangguhkan sehingga 5 tahun supaya beliau boleh mentadbir negara dengan aman dan damai,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 petang tadi meluluskan usul tambahan iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno yang masing-masing disandang Ahmad Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hasan, tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Semua usul itu diluluskan selepas majoriti perwakilan bangun dan mengangkat tangan bagi menyokong usul berkenaan dalam sesi undian yang dikendalikan Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Shahidan yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Arau yang dilucutkan keahliannya itu turut mengucapkan takziah kepada perwakilan yang kalah dalam pengundian usul tambahan berkenaan.

“Sekalung tahniah kerana berjaya membawa ‘perwakilan import’ yang dibawa masuk untuk kali yang ketiga.

“Jangan bimbang! Jumpa saya di Parlimen tanpa tolak ansur,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here