3 faktor punca Umno kalah pada PRU15 – Zahid

0
2
PAU 2022

TIGA faktor utama dikenal pasti punca Umno kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, ia adalah kesimpulan yang dirumuskan sepanjang Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang berakhir hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, antara faktor dikenal pasti ialah emosi pengundi, pemikiran setengah pengundi muda dan juga politik wang.

“Gelombang tiga faktor ini menyaksikan bukan sahaja nama besar dari parti kita kalah, malah Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dikuasai PKR selama ini kalah.

“Calon-calon parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja kalah, malah hilang deposit,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena PAU 2022 hari ini.

Menurutnya, emosi pengundi khususnya anak muda kini kebanyakan dipengaruhi dengan manipulasi influencer di sosial media seperti Tik Tok.

“Mesej yang berbeza diberikan. Anak muda di bandar dengan pendekatan trending manakala di luar bandar khususnya negeri-negeri Melayu dengan faktor agama,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Umno perlu melakukan ‘total reform’ dengan melakukan perubahan dan pembaharuan termasuk mengadakan bengkel membincangkan kesan pasca PRU15.

Selain itu, beliau berkata, parti juga perlu fokus dengan idea-idea baharu untuk bergerak ke hadapan dengan mengambil kira hala tuju yang telah digariskan.

“Perubahan gerak kerja dengan penggunaan teknologi terkini serta media baharu, saya mahu Wanita, Pemuda dan Puteri duduk sekali.

“Bincang dan perahlah pemikiran. Dalam tempoh sebulan saya harap ada dapatan dan cadangan baharu yang boleh diangkat kepada parti.

“Buatlah bengkel atau brainstorming segera antara Exco Wanita, Pemuda dan Puteri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here