Ben Ibrahim
DUA rentung dalam nahas membabitkan sebuah lori dan kereta di Kampung Datuk Sharif Ahmad, Jalan Temerloh-Kuala Krau, dekat Kuala Krau, pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 10.48 pagi.
“Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau dan Temerloh dihantar ke lokasi sebaik menerima laporan.
“Seramai 15 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi itu dan ketika pasukan bomba sampai, terdapat dua mangsa terperangkap dalam kereta yang sedang terbakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulfadli berkata, kereta berkenaan terbakar 100 peratus manakala lori pula mengalami kebakaran hampir 80 peratus.
Katanya, operasi memadam kebakaran dilakukan menggunakan dua unit alat pemadam api dan menggunakan air tangki dari jentera bomba.
“Kebakaran itu dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.46 pagi dan mayat mangsa yang rentung diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

