‘Semua tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat induk MN’

0
3

KESATUAN bukan hanya dibina dengan bicara tetapi dengan perlakuan, kata bekas pemimpin PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan parti itu bukan mahu membunuh Umno, sebaliknya menyatukan Melayu dan Islam.

Menurut Mohd Khairuddin, semua tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat jawatankuasa induk Muafakat Nasional (MN) dulu beliau juga salah seorang ahlinya.

Katanya, PAS dan Umno bersetuju untuk tidak tergesa-gesa mendaftarkan MN atau Perikatan Nasional (PN) selepas MN telah ada pihak yang mendaftarkan nama tersebut di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Namun, siapa yang menandatangani surat bagi pihak parti bersetuju menubuhkan PN tanpa diketahui oleh pimpinan parti yang lain termasuk Timbalan dan dua Naib Presiden apatah lagi Majlis Syura Ulama (MSU).

“Setelah pecah dan bocor barulah diperakui dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS Pusat dalam keadaan marah-marah.

“Itulah permulaan kepada perpecahan antara PAS dan Umno dalam MN setelah mana ahli PAS dan Umno disatukan dengan penuh kegembiraan dan ketulusan penyokong dua parti.

“Dan ada soalan yang wajar juga ditanya, bila kelulusan penglibatan dengan PN dibawa ke mesyuarat MSU atau ke Muktamar?,” soal bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

Tambah Mohd Khairuddin, beliau tidak berhasrat mengungkit kisah lama yang sudah berlalu dan telah menjadi akademik, tetapi wajar juga diperingatkan apabila ada pihak yang tanpa henti memberi persepsi bahawa Umno tidak mahukan kerjasama dengan PAS.

“Saya perlu berikan kesaksian saya sebagai ahli mesyuarat dan AJK serta ahli MSU yang terlibat dengan semua rundingan dengan MN sama ada di peringkat perbincangan kerusi dan sebagainya.

“Saya sendiri masih konsistan mahukan PAS dan Umno kembali disatukan di bawah satu payung yang boleh mencantumkan semua.

“Teguran saya terfokus pada tindak-tanduk segelintir pimpinan PAS sebagaimana saya juga bersedia dikritik atas kelemahan saya sendiri,” katanya.

Katanya lagi, teguran bukan bermakna membenci peribadi kerana tetap bersaudara dan bersahabat meskipun berbeza.

“Apa pun, marilah kita bergerak ke hadapan mencari titik persamaan,” katanya.

Semalam Takiyuddin berkata, kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa PAS “ingin membunuh” Umno dan pada masa sama menganggap DAP ikhlas terhadap Umno adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Menurut Takiyuddin, hakikatnya sejarah politik negara ini menunjukkan Umno terus bertekad sejak sekian lama untuk menghapuskan PAS termasuk cubaan untuk mengharamkannya suatu ketika dahulu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here