Perwakilan boleh bahas isu pertandingan jawatan Presiden, Timbalan Presiden – Zambry

0
2

PERWAKILAN Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 boleh membahaskan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden ingin dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata walaupun perkara itu tiada dalam usul namun terpulang kepada perwakilan untuk membahaskannya.

“Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) juga menyebut beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan (dua jawatan utama dipertandingkan atau sebaliknya).

“Beliau tidak menyatakan bahawa perlu disekat orang itu atau orang ini dan beliau juga tidak nyatakan langsung jawatan itu (presiden dan timbalan presiden) tak boleh dipertandingkan.

“Mungkin diserahkan kepada perwakilan sebab usul dibawa tidak dibahaskan sama ada terima atau sebaliknya,” katanya ketika melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang bersedia bertanding sekiranya pemilihan parti itu diadakan dalam masa terdekat.

Zambry bagaimanapun tidak memperincikan jawatan yang akan direbutnya dan memaklumkan ia perlu menunggu keputusan sama ada pemilihan akan diadakan atau tidak.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan penting dalam pemilihan parti yang akan datang, beliau memaklumkan akan mengumumkannya kelak.

“Dulu saya tanding ahli MKT, kali ini saya akan tengok macam mana kedudukannya.

“Saya ini senang saja, tiada perkara terdesak mahukan itu ini. Saya boleh jadi sebahagian team (pasukan) untuk membina semula parti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here