Pimpinan parti tentukan nasib 5 Adun Umno Sabah

0
2

UMNO Sabah menyerahkan kepada pimpinan parti untuk menentukan kedudukan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah, yang menyertai kerajaan diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ia selepas Umno hari ini sebulat suara meluluskan usul pindaan Perlembagaan partinya, yang mana ahli yang menyertai pakatan di mana Umno tiada, akan gugur keahliannya secara automatik.

Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, menyifatkan tindakan lima Adun untuk tidak bersama Umno Sabah menarik sokongan kepada Hajiji sebagai di luar jangka.

“Ia (kedudukan Adun) akan ditentukan oleh parti…apa yang boleh parti lakukan untuk kelima-lima yang bertindak di luar jangka itu. Ada proses tertentu yang kita perlu ikuti,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Isu berkaitan Umno Sabah timbul selepas lima daripada 18 Adun Umno negeri itu tidak bersetuju dengan keputusan Umno negeri menarik sokongan terhadap Hajiji.

Usaha untuk menukar kerajaan negeri itu gagal disebabkan pendirian lima Adun terbabit, sekali gus menyebabkan tiga Adun Umno dalam kumpulan Bung Moktar, termasuk beliau sendiri hilang jawatan.

Kemelut itu menyaksikan dua daripada lima Adun Umno yang menyokong Hajiji ‘naik pangkat’ dalam rombakan Kabinet negeri yang diumumkan semalam.

Mereka ialah Adun Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, menggantikan portfolio Bung Moktar sebelum ini sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah.

Adun Sugut, Datuk James Ratib, pula naik pangkat daripada Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Umno Sabah bagaimanapun menyatakan tidak mengiktiraf pelantikan kedua-dua mereka kerana tiada sebarang cadangan dikeluarkan parti untuk memilih mereka.

Sementara itu, Bung Mokhtar berkata, Umno memang selalu berhadapan dengan cabaran, selain yakin kemelut politik di negeri itu dapat diselesaikan.

“Saya minta ahli Umno Sabah supaya kita ikut keputusan parti iaitu mendengar apa juga yang sudah dinyatakan Presiden parti untuk kita bertenang.

“Memang (krisis) politik ini tak boleh selesai, walaupun di Sabah sudah tenang tetapi pergolakannya masih belum selesai.

“Sebab, pembentukan kerajaan negeri pada peringkat awal adalah daripada Umno dan Perikatan Nasional (PN). Ini menjadi satu persoalan. Jadi, tak apa. Orang mahu komen politik, kita main politik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here