Malaysia, Indonesia komited mengukuhkan kerjasama mengenai minyak sawit

0
2

PASARAN minyak sawit Malaysia dijangka kekal mantap dan kompetitif untuk 2023 dengan harga purata minyak sawit mentah (MSM) diunjur antara RM4,000 hingga RM4,200 satu tan pada tahun ini berbanding RM5,087.50 satu tan pada 2022.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata untuk rekod harga MSM melonjak ke paras tertinggi iaitu RM8,076.50 satu tan pada 2 Mac 2022 dan harga purata bulanan MSM mencatatkan rekod tertinggi RM6,873.00 satu tan pada Mei 2022.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata eksport minyak sawit juga dijangka berjumlah 16.30 juta tan bagi 2023 berbanding 17.2 juta tan tahun 2022, ekoran permintaan berterusan oleh negara-negara pengimport.

“Adalah dijangkakan pengeluaran lebih baik pada 2023 dengan pembukaan sempadan kepada pekerja asing dan langkah-langkah memudahkan kemasukan pekerja asing.

“Pengeluaran MSM dijangka terus meningkat kepada 19.00 juta tan bagi tahun 2023 berikutan jangkaan peningkatan di kawasan matang, terutamanya di Semenanjung Malaysia dan Sarawak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut berkongsi ucapannya ketika merasmikan Seminar Kajian dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit 2023, di Putrajaya hari ini.

Dalam ucapannya, Fadillah memaklumkan Malaysia dan Indonesia komited untuk mengukuhkan kerjasama mengenai sawit di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

Beliau turut mengingatkan betapa usaha perlu diselaraskan dalam menyampaikan mesej kepada Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) supaya menghentikan dakwaan tidak berasas terhadap produk dan industri minyak sawit.

“Malaysia dan Indonesia komited memperkukuhkan kerjasama mengenai kelapa sawit melalui CPOPC.

“Dengan kemasukan empat negara pemerhati iaitu Colombia, Ghana, Honduras dan Papua New Guinea yang menjadi ahli penuh CPOC, diharap mewujudkan pakatan lebih kuat dalam industri minyak kelapa sawit,” katanya.

Menurutnya, usaha memperkukuhkan industri minyak kelapa sawit tidak boleh dilaksanakan bersendirian, terutama berdepan tindakan oleh EU yang mengenakan Peraturan Penebangan Hutan (EUDR) terhadap import komoditi termasuk minyak sawit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here