MESYUARAT Jemaah Menteri hari ini bersetuju mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti dakwaan dalam buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri mendengar laporan Pasukan Petugas Khas berhubung buku berkenaan.
“Setelah meneliti syor-syor yang dicadangkan oleh Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Fong Joo Chung dalam laporannya, Jemaah Menteri telah bersetuju antara lain, mengenai cadangan penubuhan RCI bagi meneliti perkara ini secara holistik.
“Penubuhan RCI ini adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang terletak di bawah bidang kuasa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius terhadap dakwaan yang melibatkan pelanggaran tanggungjawab profesional suatu jawatan tertinggi.
“Hal ini kerana ketelusan dan akauntabiliti adalah asas kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan (administration of justice ) dan institusi kerajaan.
“Oleh itu, cadangan Terma Tauliah (Terms of Commission) RCI ini akan mempunyai skop yang lebih luas dan tidak terhad kepada syor-syor yang telah dikemukakan oleh Pasukan Petugas Khas (PPK),” katanya.
Azalina berkata, RCI itu bertujuan untuk mencari kebenaran serta mengemukakan syor kepada Kerajaan untuk reformasi institusi perundangan negara dan bukannya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak tertentu.
Menurutnya, Terma Tauliah yang terperinci, keahlian dan tempoh RCI akan dicadangkan kemudian oleh Kerajaan. – Malaysiapost

