PAU 2022: ‘Umno mampu bangkit dari rebah’ – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin parti itu mampu kembali bangkit daripada rebah dengan semangat musyawarah di kalangan kepimpinan dan ahli-ahlinya.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga terharu melihat ramai perwakilan yang tiba di Dewan Merdeka hari ini, bagi menghadiri sesi Taklimat Presiden Umno, sebentar tadi.

“Ruang ini seluasnya, saya gunakan bagi meluahkan rasa, menzahirkan cerita dan menelusuri cabaran-cabaran yang saya hadapi sepanjang menakhodai bahtera Umno ini.

“Biarlah hari ini, di dalam dewan keramat ini, kita bersama-sama membina semula gerakan parti kita,” katanya menerusi Facebook.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perubahan serta pembaharuan yang akan dilaksanakan Umno dibincangkan secara berjemaah di dalam parti.

“Dengan semangat musyawarah, saya yakin kita mampu bangkit dari rebah. Dengan keikhlasan, kita mampu mencipta kejayaan.

“Dengan doa kepada Allah, mudah-mudahan kita semua beroleh rahmah,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022) berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu, dimulakan dengan Taklimat Presiden Umno.

Fokus utama taklimat itu adalah bagi memahamkan dan memaklumkan perwakilan yang hadir mengenai Kerajaan Perpaduan dan mengapa Umno berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), sekitar jam 3.10 petang tadi, bagi memimpin taklimat berkenaan.

Beliau diiringi Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohammad Hassan, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dan ketua-ketua sayap parti itu.

Antara pemimpin yang hadir adalah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin.

Selain itu, antara yang turut dihadiri Tan Sri Noh Omar; Datuk Seri Reezal Merican dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here