PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada Datuk Seri Saarani Mohamad di atas pemergian ibu Menteri Besar Perak itu, malam tadi.
Perdana Menteri berkata, beliau turut berduka dengan berita sedih berkenaan dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman.
“Saya utus takziah buat keluarga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad atas kehilangan bonda tercinta.
“Saya turut berduka dan mendoakan semoga Allah SWT ampuni rohnya dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu,media melaporkan, Allahyarham Aminah Mohd Yusof, 79, menghembuskan nafas terakhir di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Jalan Raja DiHilir, Ipoh, kira-kira jam 11.15 malam tadi.
Berita pemergian Allahyarham itu dikongsikan menerusi Facebook Saarani, pagi ini.
Jenazah akan disolatkan di Masjid Kampung Raban, Lenggong pada jam 11.00 pagi ini dan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Raban. – Malaysiapost

