Kemelut Politik Sabah: Adakah PH menang, BN sudah tewas – Puad

0
3
Foto Kredit: Minda Rakyat

SEORANG pemimpin Umno mendakwa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menolak formula kerajaan perpaduan yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata ia susulan majlis angkat sumpah Kabinet baharu Sabah tetap diteruskan pagi ini.

“Formula Perdana Menteri ialah status quo dan Hajiji kekal Ketua Menteri tanpa ada rombakan Kabinet. Tetapi dengan dua Adun Pakatan Harapan (PH) menyertai Kabinet baharu, bermakna Perdana Menteri merestuinya.

“Maksudnya wujud kerajaan perpaduan tanpa BN. Bola di kaki Perdana Menteri. Konsep kerajaan perpaduan tambah unik. Apakah Umno kalah dan PH menang. Semoga krisis politik selesai.

“Tetapi Umno masih berdepan dengan Adun tidak berdisiplin. Tidak ikut keputusan parti. Mereka mesti dipertanggungjawabkan. Umno tidak boleh dijual beli. Kena tegas,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu pagi tadi, Datuk Seri Bung Moktar Radin sah digugurkan daripada Kabinet kerajaan Sabah apabila Adun Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya dilantik Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah.

Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah sebelum ini memegang portfolio Timbalan Ketua Menteri Sabah I dan Menteri Kerja Raya.

Dalam pada itu, dua Adun PH, Christina Liew dan Phoong Jin Zhe mengangkat sumpah jawatan jemaah menteri kerajaan Sabah.

Turut mengangkat sumpah ialah Adun Barisan Nasional (BN) James Ratib. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here