KEMELUT politik di Sabah memerlukan tempoh bertenang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga mengakui telah menyarankan formula untuk menyelesaikan konflik politik di Sabah.
“Saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju bahawa harus ada tempoh bertenang.
“Jadi dalam keadaan bertenang ini pun masih ada perkara-perkara yang berlaku tetapi yang penting matlamat Perdana Menteri menyarankan diwujudkan Kerajaan Perpaduan di Sabah yang akan melibatkan semua parti-parti.
“Untuk Sabah tentunya tidak begitu sukar Kerajaan Perpaduan diwujudkan, namun soal penerimaan itu adalah aspek yang perlu kita santuni terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Sembang Santai Bersama Media Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Menara Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, demokrasi bukan hanya tentang pilihan raya semata-mata, sebaliknya kesepakatan antara parti-parti politik berhasrat memberi kesejahteraan kepada rakyat harus diterjemahkan dan dilaksanakan.
“Maka saya harap pembangunan dan kebajikan serta kemudahan rakyat harus diberi keutamaan dan jika politiking jadi agenda saya yakin soal yang saya katakan tidak dapat diberi keutamaan.
“Saya minta semua pihak berlapang dada dan berfikiran terbuka dengan hasrat Perdana Menteri untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Sabah,” katanya. – Malaysiapost

