Polis tahan 6 lelaki terbabit pergaduhan, hancurkan kereta

0
3

POLIS menahan enam lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Miri, Sarawak, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung pada jam 11 pagi semalam berkaitan kes pergaduhan di Bintang Megamall yang tular di media sosial.

Menurutnya, susulan itu enam suspek berusia 19 hingga 34 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan berkenaan ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu yang boleh mengganggu siasatan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke Balai Polis Miri Pusat bagi menyalurkan maklumat.

“Atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sub Inspektor Ramping Jimbai di talian 085- 433222,” katanya.

Terdahulu, beberapa rakaman video pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Miri, Sarawak tular di media sosial.

Video berkenaan memaparkan seorang lelaki tidak berbaju memecahkan cermin depan kereta jenis Honda Civic berwarna putih menggunakan kayu besbol dan seorang lagi lelaki turut menendang pintu kereta berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here