Maszlee nafi spekulasi, tiada jawatan dijanjikan PM

0
3

BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini menjelaskan salah faham berhubung kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook (FB) sehingga mencetuskan spekulasi beliau bakal sertai Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam yang berkongsi kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bertemu pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Sabtu lalu, turut menafikan ditawarkan sebarang jawatan.

“Jawatan? tiada apa yang dijanjikan. Apa yang diminta (Anwar) ialah pengorbanan demi rakyat setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, hantaran dimuat naik Maszlee di FB mencetuskan persoalan selepas beliau memberi bayangan bakal menyertai kerajaan pimpinan Anwar.

Dalam hantaran terbabit, bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkongsi kata-kata Perdana Menteri: “Bersiap sedia, cuti sabatikal anda akan berakhir dalam tempoh terdekat,”.

Maszlee menjelaskan, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meminta beliau kembali aktif membantu parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) terutama di Selangor dan Negeri Sembilan.

“Status FB saya dua hari lepas telah menjadi berita dan spekulasi.

“Teguran PMX, telah ditafsirkan sebagai tawaran jawatan oleh media dan ramai pihak. Terima kasih kepada semua yang berbaik sangka dan menaruh harapan.

“Saya tidak menyebutkan apa-apa mengenainya di dalam status tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, beliau telah bersetuju dan menawarkan diri membantu Menteri Besar di kedua-dua buah negeri itu untuk pusing keliling Selangor dan Negeri Sembilan dalam waktu terdekat.

“Selain PRN, saya juga telah menawarkan diri kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk turun ke sekolah-sekolah bertemu guru untuk memberikan motivasi dan menaikkan semangat mereka terutamanya memulihkan anak murid pasca Covid-19.

“Melalui jerayawara itu juga diharapkan saya akan dapat membawa inspirasi dan suara Menteri Pendidikan serta kerajaan kepada guru untuk terus membangunkan pendidikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here