‘Insiden kad merah tidak mematahkan semangat saya’ – Azam Azmi

0
3

INSIDEN layangan kad merah dan hukuman yang diterima tidak akan mematahkan semangat pemain pertahanan Harimau Malaya, Azam Azmi Murad.

Sebaliknya, Azam menyifatkan peristiwa pahit di Hanoi itu sebagai satu proses kematangan membentuk dia menjadi seorang pemain bolasepak yang lebih baik lagi.

Pertahanan kanan negara itu berkata, dia akan mempamerkan permainan seperti biasa dan tidak berasa gentar untuk menjalankan tugasnya mengekang asakan penyerang lawan ke kubu Malaysia.

“Bagi saya perkara ini adalah pengalaman baharu untuk saya sebab saya tidak pernah dilayangkan kad merah dan ia akan mematangkan saya dan menjadi pengalaman untuk saya serta berharap ianya tidak akan berlaku lagi dalam karier saya,” katanya dipetik Flash Sukan, hari ini.

Azam juga bertekad untuk memastikan Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir kejohanan AFF Mitsubishi Electrical 2022 dan akan bermain bermati-matian sekiranya diturunkan dalam perlawanan separuh akhir kedua menentang Thailand, Selasa ini.

“Sebelum ini saya digantung dua perlawanan dan rasa sangat kecewa dengan insiden yang berlaku tetapi perkara itu sudah berlaku dan saya perlu lupakan dan fokus ke hadapan. Kini saya sudah bebas dari penggantungan dan bersemangat menolong pasukan ke final.

“Kalau saya diberikan peluang untuk bermain, saya akan berikan sepenuh hati dan tidak mahu memberi Thailand peluang untuk menjaringkan gol serta kita sendiri perlu memburu gol untuk layak ke perlawanan akhir.

“Saya juga berharap agar pasukan terus konsisten sebab kita tahu bahawa Thailand adalah pasukan yang bagus oleh itu kita perlu bekerja keras kerana kami menjangkakan satu lagi perlawanan yang panjang dan sukar,” katanya.

Ditanya mengenai pasukan yang ingin ditentang sekiranya Malaysia layak ke final, Azam memilih Vietnam berbanding Indonesia kerana mempunyai urusan yang masih belum selesai.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Bangkok petang ini untuk menghadapi perlawanan separuh akhir kedua Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di Stadium Thammasat, Selasa ini dengan membawa kelebihan satu gol selepas menang di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here