Nurul Huda Abhar
PENYANYI, Wany Hasrita menjalani saringan swab selepas bermain badminton bersama rakan yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.
Penyanyi berusia 28 tahun itu turut membatalkan semua urusan kerja sebagai langkah berjaga-jaga.
Wany berkata, kehadiran ibunya yang memberi sokongan dan turut menjalani ujian saringan mengubat perasaan takutnya ketika itu.
Menerusi hantaran Instagram (IG) Story miliknya, Wany berkongsi pengalaman kali pertama membuat saringan swab Covid-19.
“Selasa lalu, saya ada buat “swab test” Covid-19 sebab ada bermain badminton dengan kawan yang mempunyai kontak rapat pesakit Covid. Ahad malam lepas dapat tahu.
“Sepatutnya saya kena tunggu keputusan ujian saringan kawan saya itu memandangkan dia kira lapisan kedua tapi saya ambil langkah berjaga-jaga dengan batalkan semua kerja pada Isnin.
“Sebab saya tak sabar orangnya. Saya buat “swab test” itu pada Selasa. Saya pergi dengan ibu dan masa nak isi borang itu tangan menggigil sebab pertama kali nak lakukan.
“Ibu saya dah kira kali kedua sebab pernah buat masa kena tahan wad akibat denggi sebelum ini. Walaupun ibu kata tak ada apa, tapi tetap tangan menggigil,” katanya semalam.
Sementara itu, penyanyi lagu Menahan Rindu itu bersiap sedia mengemas beg kelengkapan pakaian untuk sebarang kemungkinan.
Namun begitu, selang sehari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat panggilan memaklumkan keputusan ujian saringan mereka negatif.
Wany juga mengakui selama empat hari kejadian itu berlaku adalah situasi yang sangat mencabar dan akan diingati sampai bila-bila.
“Betapa saya ambil kesempatan ke atas semua rahmat dan nikmat Allah berikan.
“Hati tak tenang, apa yang berlaku buat saya buka mata dan bersyukur dengan kesihatan. Jika keputusan sebaliknya, kena berlapang dada sebab Allah sayang,” ujarnya. – Malaysiapost

