Surat sokongan Umno pada Anwar kerja orang dalam PN

0
2

Aiman Hanif

PENYEBARAN surat yang kononnya sokongan Umno terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat oleh pihak dalam Perikatan Nasional (PN) bagi memburukkan Umno.

Menurut sumber, surat yang dinafikan kesahihannya itu adalah jelas hampir sama dengan surat dihantar Presiden PKR ke Istana Negara.

Sumber juga berkata, surat itu sengaja disebarkan melalui sebuah portal berita yang dtaja pemimpin tertentu untuk menarik perhatian orang ramai.

“Surat itu dibuat oleh pihak dalaman PN sendiri yang cuba merosakkan imej Umno yang pertimbang untuk menarik diri dari PN.

“Portal itu adalah tajaan dua orang pemimpin yang juga menteri dalam PN,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Semalam, pejabat Presiden Umno menegaskan tidak mengeluarkan surat sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-9.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata penyebaran surat itu berniat jahat bertujuan untuk merosakkan imej Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya dan Pegawai Pejabat Presiden yang selalu bertanggungjawab menyediakan segala surat menyurat dan juga ‘letter head‘ tidak pernah dikeluarkan tanpa nombor rujukan.

“Penyebaran surat rasmi berkenaan sangat melampau dan mungkin disebarkan oleh segelintir pihak berkepentingan dan berniat jahat bertujuan untuk merosakkan imej Presiden Umno,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu sumber berkata, Umno berpegang teguh kepada keputusan parti untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan Anwar.

Katanya, Umno lebih rela Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan berbanding menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.