Shahrir bebas, siapa ‘culprit’, tanya Puad

0
3

SIAPA dalang atau ‘culprit’ menyebabkan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad didakwa di mahkamah berkait kes pengubahan wang haram.

Persoalan itu dibangkitkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi selepas Shahrir dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, daripada pertuduhan gagal mengisytihar RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak.

“Kenapa gugur kes? Kerana pegawai penyiasat sendiri mengaku siasatan tidak lengkap tetapi Peguam Negara ketika itu arah teruskan dakwaan.

“Persoalannya siapa culprit? Sebab itu Perdana Menteri kena segera melakukan “Reformasi Institusi”. Banyak pendakwaan termasuk terhadap Najib dan Zahid (Hamidi) meragukan. Sistem keadilan diperkosa.

“Kalau kes Shahril Samad gugur, maka dakwaan terhadap Najib, Rosmah (Mansor) dan Tan Sri Shafie menggunakan kaedah sama iaitu AMLA/LHDN juga patut gugur,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor turut meminta pihak berkuasa mendakwa segera Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang sebelum ini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu hari ini, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan melepas dan membebaskan Shahrir selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan bekas Pengerusi Felda itu.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memaklumkan pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes terhadap beliau pada masa datang.

Mahkamah mengguna pakai Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah ketika membebaskan Shahrir selain terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang dirujuk oleh pihak pembelaan.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk sambung bicara bagi mendengar keterangan bekas Perdana Menteri yang dijadualkan dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-23 dalam perbicaraan tersebut.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan.

Tindakan itu didakwa bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Shahrir didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here