Mudarat besar menanti Umno jika demokrasi disekat – Yusof Ismail

0
2

UMNO berisiko ditimpa mudarat lebih besar sekiranya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Yusof Ismail, menegaskan alasan kestabilan tidak boleh lagi digunakan untuk menyekat demokrasi memandangkan alasan sama digunakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun sebaliknya berlaku apabila parti kalah teruk.

Menurutnya, jika dua jawatan utama itu tidak dipertandingkan, bukan ahli Umno sahaja hilang kepercayaan tetapi rakyat juga akan berpaling muka daripada Umno.

“Alasan sama sebelum PRU15. Konon untuk pastikan parti kuat dan menang. Menang apanya? Kalah teruk lagi ada. Paling teruk dalam sejarah. 26 kerusi sahaja berbanding 54 kerusi PRU14.

“Paling tidak, sebelum PRU15 Umno kuasai Kerajaan. Umno Perdana Menteri. Pergi desak PRU15 diadakan atas alasan kestabilan, sudahnya lagi porak peranda.

“Sekarang nak sekat demokrasi dengan alasan kestabilan lagi? hanya yang gila kuasa dan kemaruk jawatan serta kepentingan sahaja tak tahu malu guna alasan konon suci macam ni. Jutaan lagi ahli Umno tahu sangat agenda masing-masing,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Beliau berkata, semakin dekat Perhimpunan Agung Umno khas, semakin banyak pendapat menyokong dan menyanggah supaya jawatan Presiden dan Timbalan dipertandingkan.

Menurutnya, yang mahu pemilihan diadakan ada sebab tersendiri, yang enggan pula ada kepentingan serta sebab tertentu.

“Yang tidak mahu pemilihan punyai pelbagai alasan. Wala’ kepada pemimpinlah, setia kepada Presidenlah. Paling mual, nak pastikan kestabilan untuk hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Mana kita lagi sanggup tengok? Umno kekal dihormati ahlinya sendiri walaupun segelintir akan menyalak kerana hilang kuasa, atau dikuburkan rakyat buat selama-lamanya?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here