KBS tetap siasat jurulatih tampar pemain

0
3

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan tetap meneruskan siasatan ke atas jurulatih yang didakwa menampar dua pemain bola tampar remaja ketika satu kejohanan di Johor baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata tindakan itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa depan.

Beliau berkata, walaupun pasukan bola tampar berkenaan, ibu bapa pemain dan juga Exco kerajaan negeri Melaka sudah membuat kenyataan berhubung insiden itu, pihaknya tetap akan menjalankan siasatan bebas.

“KBS akan meneruskan siasatan bebas kami kerana ini bukan mengenai seorang jurulatih atau dua pemain, tetapi tindakan pemula yang akan kami tetapkan untuk generasi akan datang dalam sukan.

“Saya dan Fadhlina Siddiq (Menteri Pendidikan) sedang meneliti perkara ini bersama. Terima kasih,” katanya dalam satu ciapan di laman Twitternya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Melaka, VP Shanmugam yang memaklumkan jurulatih terbabit sudah berjumpa ibu bapa pemain yang ditampar untuk memohon maaf.

Selain itu, media turut melaporkan bapa salah seorang pemain itu sudah memaafkan jurulatih berkenaan dan berharap dia tidak dikenakan sebarang tindakan.

Sementara itu, pasukan bola tampar wanita B14 Melaka tutur tampil menyokong jurulatih terbabit dalam ciapan Twitter dan mereka menggesa warganet berhenti menularkan insiden itu di media sosial.

Terdahulu tular di media sosial insiden seorang jurulatih menampar dua pemainnya ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini dan tindakan itu mengundang kemarahan pelbagai pihak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here