KHIDMAT pegawai perubatan kontrak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang sebelum ini tular kerana mengeluarkan kenyataan biadap di media sosial terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dipercayai sudah ditamatkan.
Berdasarkan surat maklum balas daripada Pejabat Pengarah HKL bertarikh 29 Disember 2022 yang tular di media sosial, pegawai berkenaan ditamatkan khidmat berkuatkuasa 11 November lalu.

Surat bertajuk “Tindakan susulan bagi pelaporan aduan melalui Sistem Pengaduan Awam (SISPAA) terhadap pegawai perubatan HKL yang membuat kenyataan di media sosial berkaitan mantan Perdana Menteri” itu mula tular sejak semalam.
Antara kandungan surat berkenaan, memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menamatkan perkhidmatan kontrak pegawai perubatan berkenaan sebagai Pegawai Perubatan UD41.
Tindakan itu adalah atas kesalahan membuat pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama kerajaan (Peraturan 19(1) Peraturan-Peraturan Pegawai (Kelakuan dan Tatatertib) 1993).
Surat berkenaan mempunyai tandatangan Timbalan Pengarah (Pengurusan) HKL, Azizul Kamaredzuan Azizul Akimi bagi pihak Pengarah HKL.
Pegawai perubatan terbabit pada 16 Mei lalu dikatakan berkongsi status Nooryana Najwa Najib, di Twitter yang sedang memaklumkan kepada rakyat tentang perkembangan bapanya yang sedang dirawat di HKL.
Pegawai berkenaan didakwa dengan biadap menggunakan kata-kata kesat dan mendakwa bekas Perdana Menteri itu sihat kerana beliau sendiri yang memeriksa darah Najib.
Ciapan pegawai berkenaan menjadi tular dengan mencapai lebih 4,000 tanda suka dan lebih 3,000 ulang ciap sebelum dipadam sehari kemudian. – Malaysiapost

